Berusaha Disaat Bisa

Icon

Merangkai Kata, Menyirat Makna

Syukur

Mempergunakan nikmat atau pemberian yang ada pada kita sesuai dengan yang dikehendaki oleh yang memberi kenikmatan itu. Boleh juga diertikan mempergunakan sesuatu pemberian Allah sesuai dengan yang ditentukan oleh Allah. Dengan itu orang yang tidak mempergunakan kurniaan Allah pada jalan yang diredaiNya maka orang itu kufur terhadap kurniaan Allah atau dia tidak bersyukur kepada Allah. Termasuk dalam golongan orang yang tidak bersyukur ialah orang yang tidak mempergunakan
pemberian Allah dan membiarkan pemberian itu begitu sahaja dan membazir. Kesimpulanya, syukur bermaksud patuh dan taat.

Antara tindakan yang menandakan syukur itu ialah:

1. Merasa gembira atas sesuatu pemberian yang diterima.

2. Menyatakan kegembiraan dengan ucapan dan perbuatan.

3. Memelihara pemberian dengan baik dan mempergunakannya sesuai dengan yang dikehendaki oleh pemberi.

4. Membalas pemberian tersebut. Kalau kepada Allah maka dibalas dengan mempergunakan kurniaanNya dengan landasan patuh dan taat kepadaNya. Kalau kepada manusia, pemberian itu dibalas dengan pemberian lain atau sekurangnya dengan doa.

Sebab kufur nikmat

1. Sebab kebodohan dan tidak mengerti.Harta kekayaan atau sebagainya yang dianugerahkan oleh Allah tidak dapat mereka fahami sebagai nikmat Allah. Bahkan mereka merasa datangnya atas usaha mereka . Mereka lupa dan lalai bahawa itu ialah nikmat Allah yang perlu dibalas dengan rasa syukur. Apabila mereka ditimpa bencana atau sakit, atau kesusahan, mereka mulai memohon pertolongan Allah.

2. Ada orang yang mengetahui nikmat Allah tetapi enggan bersyukur atau melakukan perkara yang menyatakan syukur. Ini disebabkan mereka terpengaruh oleh hawa nafsu.

3. Kufur nikmat disebabkan mereka yang selalu melihat ke atas dan tidak melihat ke bawah. Disebabkan ia selalu melihat ke atas maka ia biasanya tidak mudah merasa cukup dengan apa yang dia ada. Dia sentiasa mahu menambah apa yang ada padanya dan merasa tidak cukup apa yang ada. Jika ia memandang ke bawah tentu ia merasa syukur kerana ia mempunyai lebih dari orang lain.

Bencana yang menimpa juga perlu diterima dengan rasa syukur kerana:

1. Setiap bencana yang menimpa kita haruslah diterima dengan rasa syukur kerana Allah boleh menimpakan bencana yang lebih besar. Sebesar manapun kita menerima bencana, Allah Maha Berkuasa menurunkan bencana lebih besar. Bersyukurlah kerana kita tidak ditimpakan bencana lebih besar dari yang kita telah terima.

2. Sesuatu bencana dari Allah di dunia adalah merupakan kifarat kepada dosa yang kita telah lakukan agar kita insaf. Bayangkan jika Allah tangguhkan hukumanNya hingga akhirat, maka kita akan lebih menderita kerana satu hari di akhirat adalah bersamaan 1000 tahun di dunia serta siksaan di akhirat adalah jauh lebih mengerikan.Sabda Rasulullah:”Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hambaNya, maka Ia turunkan siksaanNya di dunia dan jika menghendaki kebinasaanNya, maka ia menangguhkan dosanya hingga Ia membalasnya di akhirat.” Durratun Nashihin

3. Bencana yang ditimpakan adalah merupakan peluang untuk seseorang memperolehi ganjaran di sisi Allah iaitu ganjaran kerana ia bersabar. Firman Allah “Sesungguhnya orang-orang yang sabar itu akan dipenuhi pahalanya tanpa ada batas hitungannya.” Az Zumar 10.

Keuntungan bagi mereka yang bersyukur

1. Orang yang bersyukur tidak akan disiksa oleh Allah: Firman Allah: “Mengapa Allah menyiksamu, jika kamu bersyukur dan beriman? Allah adalah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui.” An Nisaa 147

2. Orang yang bersyukur diberi tambahan nikmat oleh Allah. Firman Allah: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya akan Ku tambahkan nikmat Ku dan jika kamu kufur, maka sesungguhnya azabKu amatlah pedih” Ibrahim 7

3. Orang yang bersyukur akan merasakan ketenteraman jiwa dan memiliki sifat merasa cukup dengan apa yang ada (qanaah). Dia tidak merasa resah gelisah kerana kekurangan yang ada pada dirinya.

4. Orang yang bersyukur menafaatkan apa yang telah dikurniakan kepadanya sebaik mungkin sebagai suatu nikmat dari Allah.

5. Orang-orang yang bersyukur akan mudah dalam pergaulan dan disenangi masyarakat.

Keuntungan bagi mereka yang sabar

1. Mereka memperolehi pahala yang tiada terkira banyaknya (Firman Allah surah Az Zumar 10)

2. Mereka akan dihapuskan dosanya oleh Allah. Sabda Rasulullah “Tidak ada seorang muslim yang terkena suatu gangguan, baik berupa duri atau lebih dari itu, melainkan Allah akan menghapuskan kesalahannya dan menggugurkan dosanya sebagaimana gugurnya daun dari pohon.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

3. Mereka akan memperolehi kebahagiaan hidup di akhirat. Sabda Rasulullah: “Allah pasti akan menguji salah seorang dari kamu dengan sesuatu kesusahan, seperti halnya salah seorang dari kamu menguji emasnya dengan api. Sebahagian dari mereka ada yang berjaya keluar dari cubaan Allah seperti emas murni dan sebahagian yang lain ada yang keluar seperti emas yang hitam. Riwayat Tabrani.

Filed under: Adab, daawah.com , ,

Konsep usaha menurut pandangan Islam

Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam ‘ala Rasulillah.

ISLAM mewajibkan setiap umatnya bekerja untuk menjadikan mata pencarian sumber rezekinya dan menghasilkan pendapatan itu bagi menyara hidupnya.
Islam memberi berbagai-bagai kemudahan hidup dan jalan-jalan mendapatkan rezeki di bumi Allah yang penuh dengan segala nikmat ini.

FirmanNya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai-bagai jalan) penghidupan…” (Al-A’raf:10).
Dan firmanNya lagi yang bermaksud:”Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan kepadaNya jualah dibangkitkan hidup semula.” (Al-Mulk:15).
Islam memerintahkan umatnya mencari rezeki yang halal kerana pekerjaan itu adalah bagi memelihara maruah dan kehormatan manusia.
Firman Allah SWT, maksudnya:”Wahai sekelian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik…” (Al-Baqarah:168).

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:”Mencari kerja halal itu wajib atas setiap orang Islam.”

Oleh yang demikian Islam mencela kerja meminta-minta atau mengharapkan pertolongan orang lain kerana ianya boleh merendahkan harga diri atau maruah.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:”Bahawa sesungguhnya seorang kamu yang pergi mengambil seutas tali, kemudian mengikat seberkas kayu api lalu menjualnya hingga dengan sebab itu ia dapat memelihara harga dirinya, adalah lebih baik daripada ia pergi meminta-minta kepada orang sama ada mereka memberinya atau menolaknya.”
Sebuah hadith lagi bermaksud:Dilaporkan bahawa seorang lelaki yang cergas dan gagah sedang lalu di hadapan baginda menuju ke satu arah tertentu, lalu kedengaran para sahabat berkata: “Alangkah bagusnya kalau orang ini berjuang pada jalan Allah.”
Maka baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:”Sekiranya dia keluar berusaha untuk anaknya yang kecil, maka dia berjuang pada jalan Allah, kalau ia berusaha untuk kedua ibu bapanya yang telah tua itupun berjuang pada jalan Allah, kalau dia berusaha untuk menyara dirinya pun, maka itu pun berjuang pada jalan Allah.”

Kerja Sebagai Asas Kemajuan Ummah
Islam mewajibkan kerja untuk tujuan mendapatkan mata pencarian hidup dan pendapatan secara langsung mendorong kepada kemajuan sosio ekonomi.
Islam mengambil perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap kemajuan ummah kerana itu ia sangat menekankan kemajuan di peringkat masyarakat dengan menggalakkan berbagai kegiatan ekonomi sama ada di sektor pertanian, perusahaan dan perniagaan.

Dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. sangat ketara dorongan ke arah kemajuan ekonomi di sektor tersebut sebagai contohnya:
1. Di bidang pertanian.
Hadith bermaksud: “Tiadalah seseorang mukmin itu menyamai akan semaian akan menanam tanaman lalu dimakan oleh burung atau manusia melainkan ianya adalah menjadi sedekah.” (Riwayat Muslim).
2. Di bidang peruashaan.
Hadith bermaksud: “Sebaik-baik usaha ialah usaha seseorang pengusaha apabila ia bersifat jujur dan nasihat menasihati.” (Riwayat Ahmad).
3. Di bidang perniagaan.
Rasulullah s.a.w. pernah meletakkan para peniaga kepada kedudukan yang sejajar dengan para nabi, orang-orang yang benar, para syuhada’ dan orang-orang soleh dengan sabdanya yang bermaksud: “Peniaga yang jujur adalah bersama para nabi, orang-orang sadiqin, para syuhada’ dan orang-orang soleh.”
Baginda juga menyatakan bahawa sembilan persepuluh daripada rezeki itu adalah pada perniagaan. (Riwayat At-Tirmizi dan Hakim).

Islam Menolak Pengangguran
Islam menuntut umatnya bekerja secara yang disyariatkan atau dibenarkan menurut syarak bagi menjamin kebaikan bersama dan mengelak dari meminta-minta dan sebaliknya hendaklah berdikari.

Islam adalah sentiasa memandang berat dan menyeru umatnya untuk bekerja dan terus mencari rezeki melalui dua pendekatan berikut:
a. Islam melarang dan mencegah umatnya meminta-minta.Islam melarang dan mencegah umatnya meminta-minta dan menganggur. Banyak hadith-hadith Nabi s.a.w. mengenai larangan berusaha dengan cara meminta-minta.
Baginda Rasulullah s.a.w. sering benar mengarahkan orang yang datang meminta-minta supaya mereka bekerja.
Umpamanya suatu ketika seorang fakir datang meminta-minta kepada baginda, lalu baginda bertanya: “Adakah anda memiliki sesuatu?” “Tidak,” kata lelaki itu.
Baginda bertanya lagi dengan bersungguh-sungguh, lalu lelaki itu menjawab: “Saya ada sehelai hamparan yang separuhnya kami jadikan alas duduk dan separuh lagi kami buat selimut dan ada sebuah mangkuk yang kami gunakan untuk minum.
“Maka baginda bersabda kepadanya: “Bawa kedua-duanya benda itu kepada saya.”
Lalu dibawanya kedua-dua barang itu kemudian Nabi tunjukkan barang-barang itu kepada orang yang berada di sisi baginda kalau ada sesiapa yang hendak membelinya.
Akhirnya baginda dapat menjualnya dengan harga dua dirham dan diberikannya wang tersebut kepada lelaki itu sambil baginda berkata: “Belilah makanan untuk keluargamu dengan satu dirham manakala satu dirham lagi belikanlah sebilah kapak.”
Kemudian Rasulullah meminta lelaki itu datang lagi, lalu lelaki itu pun datang dan baginda telah membubuhkan hulu kapak itu dan menyuruh lelaki itu pergi mencari kayu api sambil baginda mengatakan supaya lelaki itu tidak akan berjumpanya lagi dalam masa 15 hari.
Lelaki itu pergi dan kembali lagi kemudian selepas 15 hari sambil membawa 10 dirham, lalu ia berkata: “Wahai Rasulullah, Allah SWT telah memberkati saya pada kerja yang tuan suruh saya itu.”
Maka baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ini adalah lebih baik daripada anda datang pada hari kiamat kelak sedang pada muka anda bertanda-tanda kerana meminta-minta.”

Berdasarkan kepada banyaknya hadith-hadith mengenai perkara ini, para ulama’ membuat kesimpulan bahawa larangan meminta-minta itu bukanlah sekadar perintah bersifat akhlak sahaja bahkan orang yang menjadikan kerja meminta-minta itu sebagai ‘profesion’ hendaklah dikenakan hukuman kesiksaan yang berpatutan (takzir).

b. Dengan cara menggalakkan dan mendorong seseorang Islam bekerja dengan berbagai-bagai galakan, sebagaimana hadis yang telah disebutkan mengenai pertanian, perniagaan, perusahaan dan sebagainya.
Ada setengah ulama’ yang membincangkan mengenai kelebihan di antara cara-cara berusaha itu yang kesimpulannya bahawa perkara itu adalah berbeza-beza mengikut keperluan, orang dan keadaan masing-masing.

Kesimpulan
Berdasarkan kepada keterangan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dengan huraian-huraian seperti yang disebutkan dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Islam sangat mengambil berat terhadap ‘kerja’ dengan menjelaskan konsep kerja itu dan kedudukannya yang tinggi dalam susun-atur ajaran islam.

Ringkasnya kita dapat simpulkan seperti berikut:
i. Kerja menurut konsep Islam adalah segala yang dilakukan oleh manusia yang meliputi kerja untuk dunia dan kerja untuk akhirat.
ii. Kerja untuk kehidupan dunia sama ada yang bercorak jasmani (blue collar job) atau bercorak aqli atau mental (white collar job) adalah dipandang sama penting dan mulia di sisi Islam asal sahaja dibolehkan oleh syarak.
iii. Islam mewajibkan kerja ke atas seluruh umatnya tanpa mengira darjat keturunan atau warna kulit, kerana seluruh umat manusia adalah sama di sisi Allah SWT, melainkan kerana taqwanya.
iv. Masyarakat Islam adalah sama-sama bertanggungjawab dan bekerjasama melalui kerja masing-masing, berdasarkan kebolehan dan kelayakan serta kelainan bidang masing-masing, kerana segala kerja mereka adalah bersumberkan iman dan bertujuan melaksanakan amal.
v. Kerja adalah asas penilaian manusia dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebagai khalifah Allah SWT dan hambaNya untuk memakmurkan bumi ini dan sekaligus beribadat kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta Alam.
vi. Kerja merupakan cara yang tabi’i untuk manusia mencari nafkah bagi menyara hidupnya dan keluarga melalui berbagai bidang sektor pekerjaan dan perusahaan yang terbuka peluangnya dengan persediaan dan kemudahan alam yang Allah SWT sediakan di atas muka bumi ini.
vii. Islam melarang atau menolak pengangguran kerana ia akan dedahkan kepada kelemahan dan kefakiran dan jatuhnya maruah diri atau ummah, kerana Islam menghendaki setiap umatnya bermaruah dan berdikari, tidak meminta-minta dan berharap kepada bantuan dan belas kasihan orang lain; bahkan sebaliknya hendaklah menjadi ummah yang kuat dan mampu membela mereka yang lemah dan tertindas agar seluruh manusia menikmati keadilan dan rahmat yang dibawa oleh Islam sebagai agama atau ‘ad-din’ yang tertinggi dan mengatasi seluruh kepercayaan dan ideologi manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud:”Dialah (Allah) yang mengutuskan RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dengan agama yang benar (Islam), supaya ia menegakkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang musyrik membencinya.” (As-Saf:9).

[Oleh HAJI AHMAD AWANG]

Filed under: Adab, daawah.com ,

Pembangunan Menurut Kaca Mata Islam

Pembangunan adalah satu peningkatan dari keadaan yang kurang baik kepada yang lebih baik. Ia adalah satu Sunnah Allah S.W.T. dengan mengikut nilai-nilai murni yang berlandaskan kehendak Islam.

1.Berusaha Untuk Kebendaan Setelah Menunaikan Ibadah
Firman Allah: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). (Al-Jumu’ah:10)

2.Memajukan Bahan-Bahan Di Bumi
Firman Allah: Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmur-kannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya. (Hud :61).

3.Allah Menyuruh Manusia Bercucuk Tanam.
Firman Allah: Dan Dialah (ALLAH) yang menjadikan) untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman yang berlainan (bentuk rupa dan) rasanya dan buah zaiton dan delima yang bersamaan (warnanya dan daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya) (Al-An’am: 141)

4.Allah Menyuruh Manusia Memikirkan Dan Memerhatikan Kejadiannya.
Firman Allah: Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka ,(siapakah yang menjaganya ketika itu) burung-burung itu mengembangkan sayapnya dan mengatupnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh)
melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. (Al-Mulk:19)

5.Laut Merupakan Sumber Rezeki.
Firman Allah: Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang hidup-hidup dan dapat pula mengeluarkan daripadanya benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; dan (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal belayar padanya;dan lagi supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia-Nya: dan supaya kamu bersyukur.(An-Nahl: 14).

6.Allah Akan Memberi Kekayaan Kepada Siapa Yang Berusaha.
Firman Allah: Sesiapa yang keadaan susahnya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya. (Hud:15)

PEMBANGUNAN MENURUT HADIS

Galakkan Supaya Membangunkan Industri Dan Pertanian.
Sabda Rasulullah: Tiada seorang muslim pun yang bercucuk tanam lantas buahnya di makan burung atau binatang atau manusia, melainkan baginya sebagai sedekah. (Riwayat Muslim)

Mengusahakan Tanah Sendiri Atau Minta Orang Lain Mengusahakannya.
Sabda Rasulullah: Barang siapa yang memilik tanah maka tanamlah atau berikan kepada kawannya. (Riwayat Al- Bukhari dan Muslim).

Allah Kasih Kepada Orang Yang Berusaha/Bekerja.
Sabda Rasulullah: Mereka yang mencari harta dunia (kekayaan) dengan cara jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya dan berbelas kasihan sayang terhadap jiran tetangganya, di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah pada hal mukanya berseri-seri seperti bulan purnama di waktu malam. (Riwayat At-Tabrani)

Filed under: Adab, daawah.com , ,

MENJANA KEHEBATAN DIRI DALAM PERGAULAN

Oleh Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah

Jangan Ada Benci Di Hati
Ramai juga orang yang gagal dalam pergaulan kerana menyimpan perasaan BENCI dalam hati mereka. Tuhan itu maha adil. Perasaan benci dalam diri kita akan menyebabkan ramai orang mudah benci terhadap kita. Misalnya, orang yang membenci ibu bapanya mungkin akan dibenci oleh rakan-rakannya. Orang yang membenci jirannya atau bekas kekasihnya mungkin akan dapat kebencian daripada rakan sekerjanya atau malahan ketua jabatannya.
Justeru hapuskanlah segala perasaan benci daripada hati kita agar kita mudah menjalin hubungan dengan orang lain.

Kaedah Mengikis Benci
Cara yang terbaik untuk mengikis benci ialah dengan memaafkan semua orang sebelum tidur malam. Jika setiap malam sebelum tidur kita sentiasa mencuci muka, memberus gigi, membersihkan diri dan mengibas tempat tidur, tidak bolehkah kita mencuci hati kita dengan memaafkan semua orang sebelum tidur?
Pengalaman secara peribadi penulis menunjukkan bahawa dengan memaafkan semua orang sebelum tidur, kita akan dapat membersihkan hati serta menenangkan fikiran dan mudah menjalin hubungan baik dengan orang lain.

Faktor-faktor Yang Boleh Merangsang Kehebatan Dalam Pergaulan
Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik kepada kita ialah:
1) Jaga solat dan lakukan ibadah-ibadah khusus dan umum yang lain.
2) Sentiasa bersangka baik terhadap semua orang (walaupun kita perlu berwaspada setiap masa).
3) Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.
4) Banyakkan bersedekah, samada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.
5) Sentiasa memperbanyakkan sabar. Nabi s.a.w. pernah berpesan supaya mencari 144 sebab sebelum kita memarahi orang.
6) Sentiasa ceria apabila berjumpa dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.
7) Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang-menyayangi antara satu dengan yang lain.
8) Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan menyebabkan orang lain rasa mual terhadap kita.
9) Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insyaAllah orang lain akan tertarik kepada kita.
10) Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan apabila mengingati mati.
11) Sentiasa syukur dan redha atas pemberian Allah swt.
12) Sentiasa memberi salam dan ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.
13) Pamerkan simpati kepada setiap individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.
14) Jadilah pendengar dan kawan yang setia.
15) Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan kelemahan atau keburukan orang lain.
16) Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.

Terlebih Dahulu Baiki Diri
Untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri kita, kita perlu terlebih dahulu menyayangi dan memperbaiki diri kita. Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan sebarang kegiatan yang boleh mensabotaj dan merosakkan dirinya. Setiap tindak-tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan sentiasa memikirkan perasaan orang lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana:
“Orang tidak kisah setakat mana yang anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka

Berjihad itu WAJIB

Filed under: Adab, daawah.com ,

Bulan Ini

April 2008
M S S R K J S
« Mar    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
27282930  

Arsip