Konsep usaha menurut pandangan Islam

Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam ‘ala Rasulillah.

ISLAM mewajibkan setiap umatnya bekerja untuk menjadikan mata pencarian sumber rezekinya dan menghasilkan pendapatan itu bagi menyara hidupnya.
Islam memberi berbagai-bagai kemudahan hidup dan jalan-jalan mendapatkan rezeki di bumi Allah yang penuh dengan segala nikmat ini.

FirmanNya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai-bagai jalan) penghidupan…” (Al-A’raf:10).
Dan firmanNya lagi yang bermaksud:”Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan kepadaNya jualah dibangkitkan hidup semula.” (Al-Mulk:15).
Islam memerintahkan umatnya mencari rezeki yang halal kerana pekerjaan itu adalah bagi memelihara maruah dan kehormatan manusia.
Firman Allah SWT, maksudnya:”Wahai sekelian manusia, makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik…” (Al-Baqarah:168).

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:”Mencari kerja halal itu wajib atas setiap orang Islam.”

Oleh yang demikian Islam mencela kerja meminta-minta atau mengharapkan pertolongan orang lain kerana ianya boleh merendahkan harga diri atau maruah.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:”Bahawa sesungguhnya seorang kamu yang pergi mengambil seutas tali, kemudian mengikat seberkas kayu api lalu menjualnya hingga dengan sebab itu ia dapat memelihara harga dirinya, adalah lebih baik daripada ia pergi meminta-minta kepada orang sama ada mereka memberinya atau menolaknya.”
Sebuah hadith lagi bermaksud:Dilaporkan bahawa seorang lelaki yang cergas dan gagah sedang lalu di hadapan baginda menuju ke satu arah tertentu, lalu kedengaran para sahabat berkata: “Alangkah bagusnya kalau orang ini berjuang pada jalan Allah.”
Maka baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:”Sekiranya dia keluar berusaha untuk anaknya yang kecil, maka dia berjuang pada jalan Allah, kalau ia berusaha untuk kedua ibu bapanya yang telah tua itupun berjuang pada jalan Allah, kalau dia berusaha untuk menyara dirinya pun, maka itu pun berjuang pada jalan Allah.”

Kerja Sebagai Asas Kemajuan Ummah
Islam mewajibkan kerja untuk tujuan mendapatkan mata pencarian hidup dan pendapatan secara langsung mendorong kepada kemajuan sosio ekonomi.
Islam mengambil perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap kemajuan ummah kerana itu ia sangat menekankan kemajuan di peringkat masyarakat dengan menggalakkan berbagai kegiatan ekonomi sama ada di sektor pertanian, perusahaan dan perniagaan.

Dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. sangat ketara dorongan ke arah kemajuan ekonomi di sektor tersebut sebagai contohnya:
1. Di bidang pertanian.
Hadith bermaksud: “Tiadalah seseorang mukmin itu menyamai akan semaian akan menanam tanaman lalu dimakan oleh burung atau manusia melainkan ianya adalah menjadi sedekah.” (Riwayat Muslim).
2. Di bidang peruashaan.
Hadith bermaksud: “Sebaik-baik usaha ialah usaha seseorang pengusaha apabila ia bersifat jujur dan nasihat menasihati.” (Riwayat Ahmad).
3. Di bidang perniagaan.
Rasulullah s.a.w. pernah meletakkan para peniaga kepada kedudukan yang sejajar dengan para nabi, orang-orang yang benar, para syuhada’ dan orang-orang soleh dengan sabdanya yang bermaksud: “Peniaga yang jujur adalah bersama para nabi, orang-orang sadiqin, para syuhada’ dan orang-orang soleh.”
Baginda juga menyatakan bahawa sembilan persepuluh daripada rezeki itu adalah pada perniagaan. (Riwayat At-Tirmizi dan Hakim).

Islam Menolak Pengangguran
Islam menuntut umatnya bekerja secara yang disyariatkan atau dibenarkan menurut syarak bagi menjamin kebaikan bersama dan mengelak dari meminta-minta dan sebaliknya hendaklah berdikari.

Islam adalah sentiasa memandang berat dan menyeru umatnya untuk bekerja dan terus mencari rezeki melalui dua pendekatan berikut:
a. Islam melarang dan mencegah umatnya meminta-minta.Islam melarang dan mencegah umatnya meminta-minta dan menganggur. Banyak hadith-hadith Nabi s.a.w. mengenai larangan berusaha dengan cara meminta-minta.
Baginda Rasulullah s.a.w. sering benar mengarahkan orang yang datang meminta-minta supaya mereka bekerja.
Umpamanya suatu ketika seorang fakir datang meminta-minta kepada baginda, lalu baginda bertanya: “Adakah anda memiliki sesuatu?” “Tidak,” kata lelaki itu.
Baginda bertanya lagi dengan bersungguh-sungguh, lalu lelaki itu menjawab: “Saya ada sehelai hamparan yang separuhnya kami jadikan alas duduk dan separuh lagi kami buat selimut dan ada sebuah mangkuk yang kami gunakan untuk minum.
“Maka baginda bersabda kepadanya: “Bawa kedua-duanya benda itu kepada saya.”
Lalu dibawanya kedua-dua barang itu kemudian Nabi tunjukkan barang-barang itu kepada orang yang berada di sisi baginda kalau ada sesiapa yang hendak membelinya.
Akhirnya baginda dapat menjualnya dengan harga dua dirham dan diberikannya wang tersebut kepada lelaki itu sambil baginda berkata: “Belilah makanan untuk keluargamu dengan satu dirham manakala satu dirham lagi belikanlah sebilah kapak.”
Kemudian Rasulullah meminta lelaki itu datang lagi, lalu lelaki itu pun datang dan baginda telah membubuhkan hulu kapak itu dan menyuruh lelaki itu pergi mencari kayu api sambil baginda mengatakan supaya lelaki itu tidak akan berjumpanya lagi dalam masa 15 hari.
Lelaki itu pergi dan kembali lagi kemudian selepas 15 hari sambil membawa 10 dirham, lalu ia berkata: “Wahai Rasulullah, Allah SWT telah memberkati saya pada kerja yang tuan suruh saya itu.”
Maka baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ini adalah lebih baik daripada anda datang pada hari kiamat kelak sedang pada muka anda bertanda-tanda kerana meminta-minta.”

Berdasarkan kepada banyaknya hadith-hadith mengenai perkara ini, para ulama’ membuat kesimpulan bahawa larangan meminta-minta itu bukanlah sekadar perintah bersifat akhlak sahaja bahkan orang yang menjadikan kerja meminta-minta itu sebagai ‘profesion’ hendaklah dikenakan hukuman kesiksaan yang berpatutan (takzir).

b. Dengan cara menggalakkan dan mendorong seseorang Islam bekerja dengan berbagai-bagai galakan, sebagaimana hadis yang telah disebutkan mengenai pertanian, perniagaan, perusahaan dan sebagainya.
Ada setengah ulama’ yang membincangkan mengenai kelebihan di antara cara-cara berusaha itu yang kesimpulannya bahawa perkara itu adalah berbeza-beza mengikut keperluan, orang dan keadaan masing-masing.

Kesimpulan
Berdasarkan kepada keterangan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dengan huraian-huraian seperti yang disebutkan dapatlah dibuat kesimpulan bahawa Islam sangat mengambil berat terhadap ‘kerja’ dengan menjelaskan konsep kerja itu dan kedudukannya yang tinggi dalam susun-atur ajaran islam.

Ringkasnya kita dapat simpulkan seperti berikut:
i. Kerja menurut konsep Islam adalah segala yang dilakukan oleh manusia yang meliputi kerja untuk dunia dan kerja untuk akhirat.
ii. Kerja untuk kehidupan dunia sama ada yang bercorak jasmani (blue collar job) atau bercorak aqli atau mental (white collar job) adalah dipandang sama penting dan mulia di sisi Islam asal sahaja dibolehkan oleh syarak.
iii. Islam mewajibkan kerja ke atas seluruh umatnya tanpa mengira darjat keturunan atau warna kulit, kerana seluruh umat manusia adalah sama di sisi Allah SWT, melainkan kerana taqwanya.
iv. Masyarakat Islam adalah sama-sama bertanggungjawab dan bekerjasama melalui kerja masing-masing, berdasarkan kebolehan dan kelayakan serta kelainan bidang masing-masing, kerana segala kerja mereka adalah bersumberkan iman dan bertujuan melaksanakan amal.
v. Kerja adalah asas penilaian manusia dan tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebagai khalifah Allah SWT dan hambaNya untuk memakmurkan bumi ini dan sekaligus beribadat kepada Allah SWT, Tuhan Pencipta Alam.
vi. Kerja merupakan cara yang tabi’i untuk manusia mencari nafkah bagi menyara hidupnya dan keluarga melalui berbagai bidang sektor pekerjaan dan perusahaan yang terbuka peluangnya dengan persediaan dan kemudahan alam yang Allah SWT sediakan di atas muka bumi ini.
vii. Islam melarang atau menolak pengangguran kerana ia akan dedahkan kepada kelemahan dan kefakiran dan jatuhnya maruah diri atau ummah, kerana Islam menghendaki setiap umatnya bermaruah dan berdikari, tidak meminta-minta dan berharap kepada bantuan dan belas kasihan orang lain; bahkan sebaliknya hendaklah menjadi ummah yang kuat dan mampu membela mereka yang lemah dan tertindas agar seluruh manusia menikmati keadilan dan rahmat yang dibawa oleh Islam sebagai agama atau ‘ad-din’ yang tertinggi dan mengatasi seluruh kepercayaan dan ideologi manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud:”Dialah (Allah) yang mengutuskan RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dengan agama yang benar (Islam), supaya ia menegakkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang musyrik membencinya.” (As-Saf:9).

[Oleh HAJI AHMAD AWANG]

Posted on 22 April 2008, in Adab, daawah.com and tagged . Bookmark the permalink. Komentar Dinonaktifkan pada Konsep usaha menurut pandangan Islam.

Komentar ditutup.

%d blogger menyukai ini: